Dikuasakan oleh Blogger.
RSS

REFLEKSI MINGGU KE-13

Assalamualaikum w.b.t buat Dr. Norsofiah dan rakan-rakan yang dikasihi 💞

Pada hari Isnin yang lalu saya dan rakan perlu menghantar latihan yang diberikan oleh Dr. Norsofiah dimana beliau meminta kami untuk membina Representasi Fonologi bagi perkataan sesuka, jejari, dan lelaki. Dengan adanya representasi fonologi itu, kita dapat ketahui bagaimana suatu kata ganda separa itu boleh terbentuk. Terdapat 5 langkah yang perlu dilakukan iaitu :

1) Representasi Dalaman
2) Pemindahan Melalui Projeksi Dari Kiri Ke Kanan
3) Linearisasi
4) Pelemahan Vokal
5) Representasi Permukaan





Semasa tutorial berlangsung, kami perlu mempelajari tentang Penggandaan. Saya telah pun membuat nota ringkas berkaitannya. Semasa di kelas, Dr. meminta kami untuk membuat Lukisan Bergambar yang menerangkan tentang makna penggandaan iaitu yang mendukung makna jamak, makna menyaling, makna seakan-akan, makna sifar dan sebagainya. Kami dibentuk di dalam satu kumpulan dan berbincang bersama untuk menghasilkan lukisan yang terbaik bagi kefahaman rakan-rakan yang lain. Setelah itu, kami perlu membentangkan tentang hasil lukisan di hadapan dan memberi penjelasan kepada rakan-rakan. Sejujurnya, ia meningkatkan lagi tahap kefahaman saya dan ia merupakan suatu cara yang mudah untuk mengingat.

Semasa kuliah pada hari Selasa pula, Dr. Norsofiah memberikan penerangan secara menyeluruh tentang Penggandaan Separa. Ia juga turut melibatkan tentang proses Morfologi yang akan menghasilkan Kata Dasar. Disini, Dr. Norsofiah menekankan tentang adanya Penyisipan Schwa dan Pemanjangan Vokal yang menyebabkan terhasilkan perkataan "sesuka" dan bukan "susuka". Kami mendengar dengan penuh teliti supaya tidak ketinggalan maklumat. 

Semasa kuliah pada hari Khamis pula, kami perlu membuat ulangkaji kerana Dr. Norsofiah ingin membuat Kuiz berkaitan Penggandaan. Kuiz tersebut perlu diisi dengan jawapan makna kepada suatu penggandaan. Misalnya "pagi-pagi" yang membawa makna keadaan atau sifat. Hanya terdapat 8 soalan sahaja mengenai penggandaan tersebut dan saya hanya berjaya menjawab 4 soalan dengan tepat. Hal ini demikian kerana berlaku kesalahfahaman cara untuk menjawab dimana saya beranggapan bahawa Dr. Norsofiah mahukan jawapan yang memberi makna kepada penggandaan tersebut. Oleh itu, jawapan saya tidak begitu tepat. 

Setelah itu, kami juga diminta untuk membuat Representasi Fonologi tentang perkataan "a aan". Saya juga tidak pasti makna kepada perkataan tersebut kerana Dr. hanya mahu kami mengenalpasti dan melihat bahawa perkataan tersebut tidak boleh digandakan dan berlaku kecelaruan semasa pemindahan projeksi dari kiri ke kanan. Saya mencuba untuk melakukannya sendiri tetapi tidak berjaya dan merujuk kepada pencarian di internet. Setelah itu, latihan tersebut perlu dihantar dan Dr. melakukan perbincangan bersama. Selesai perbincangan dilakukan, baru lah saya ketahui bagaimana berlakunya proses kecelaruan tersebut yang mengakibatkan representasi permukaan tidak berlaku.

Secara keseluruhan, saya berharap bahawa dengan adanya bantuan daripada Dr. Norsofiah dan rakan-rakan akan dapat meningkatkan lagi tahap kefahaman saya semasa di dalam kelas.

Sekian, Terima Kasih 💘

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-12

Assalamualaikum w.b.t buat Dr. Norsofiah dan rakan-rakan sekalian 💕

Pada hari Isnin yang lalu, kelas tutorial telah dibatalkan atas urusan Dr. yang tidak kami ketahui. Namun, kami diberi tugasan untuk membuat pembetulan di dalam Padlet yang telah kami hantar pada 2 minggu yang lalu. Saya melakukannya dengan rakan saya iaitu haziqah. Kami perlu mengenalpasti golongan kata berserta dengan justifikasinya yang membuktikan bahawa perkataan tersebut adalah benar dengan pasangan golongan katanya.

Semasa kuliah pada hari Selasa pula kami membuat ulangkaji dengan bermain Kuiz Kahoot sebanyak 2 kali. Kuiz adalah perkara yang paling saya takuti kerana ia akan menyebabkan saya berasa gemuruh. Kuiz Kahoot yang pertama, Dr. telah menunjukkan gambar dan kami perlu mengingatinya. Setelah kuiz bermula, Dr. memaparkan gambar yang berlainan dan ia membuatkan kami keliru dan tergopoh-gapah untuk menjawab soalan tersebut. Saya tidak mendapat ranking yang baik pada kuiz kali ini. Kuiz yang kedua juga terdapat banyak kesilapan kerana faktor kecuaian. Namun tidak mengapa, saya akan mencuba lakukan yang lebih baik pada kuiz yang akan datang.
Kuiz Kahoot dijalankan sebanyak 2 kali.

Setelah itu, Dr. telah pun memberi izin kepada pelajar yang bertanding bersempena Pilihan Raya Kampus pada tahun ini. Meskipun manifesto yang dikemukakan mungkin hanya manis di bibir sahaja tapi saya berharap calon umum mahupun calon pusat pengajian yang menang bertanding pada kali ini dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih baik.

Seterusnya, kami perlu menghantar tugasan menerusi aplikasi Flipgrid dimana kami perlu merakam video berdurasi tidak lebih daripada 5 minit dan menerangkan tentang isu penggolongan kata bagi Kriteria Semantik, Kriteria Sintaksis, dan Kriteria Morfologi. Saya hanya perlu memilih 1 tajuk sahaja dan saya memilih Kriteria Sintaksis. Kami juga perlu membuat rujukan berdasarkan buku yang ditulis oleh Abdullah Hassan.
Video yang telah dihantar menerusi aplikasi Flipgrid.

Pada kuliah hari Khamis pula, Dr. Sofia telah memulakan tajuk yang baru iaitu Penggandaan. Penggandaan boleh dibahagi kepada penggandaan penuh seperti guru-guru, penggandaan separuh seperti jejari, dan penggandaan berima seperti gunung-ganang. Setelah itu, kami juga turut mempelajari tentang penghasilan penggandaan di dalam Bahas Agta yang mengambil suku kata depan K + V + K. Manakala, untuk penggandaan Bahasa Melayu hanya mengambil suku kata depan K + V. Kami juga telah diberi tugasan untuk membuat latihan ini pagi beberapa perkataan dan perlu dihantar pada minggu hadapan.

Saya juga berharap saya dapat melakukan tugasan ini dengan baik dan berharap kelas pada minggu hadapan menjadi suatu yang bermakna bagi saya untuk terus menimba ilmu pengetahuan.

Sekian. Terima Kasih 👄

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-11

Assalamualaikum w.b.t buat Dr. Norsofiah dan rakan-rakan sekalian 👄

Pada kuliah minggu lalu iaitu pada hari Selasa, saya telah membuat ulangkaji kerana Dr. memberitahu bahawa kuiz akan dilakukan pada hari tersebut. Kami membuat nota-nota ringkas bagi memudahkan pemahaman serta menghafalnya. Setelah itu, Dr. menyatakan bahawa kami perlu pergi ke Perpustakaan Hamzah Sendut. Saya berasa sedikit pelik kerana kuiz diadakan di situ kerana kebiasaannya ia dilakukan di dalam kelas. Namun, saya hanya menurut.

Lebih memeranjatkan lagi apabila Dr. memberitahu bahawa kuiz yang diadakan memerlukan kami untuk merujuk majalah Dewan Budaya. Ia merupakan suatu kuiz yang berlainan dan tak pernah saya fikirkan sebelum ini. Saya berasa gembira kerana ianya suatu yang unik dan ia boleh dilakukan bersama dengan rakan. Segala keresahan saya sebentar tadi hilang begitu sahaja dan kami menyiapkan kuiz tersebut dengan sebaiknya. Setelah selesai kami menghantar kuiz tersebut dan mengambil gambar bersama bagi menunjukkan bukti bahawa kami hadir ke kelas.

Saya memakai tudung berwarna merah jambu dan di sebelah saya adalah Dr. Norsofiah 💖


Pada hari Khamis pula, kami membuat ulangkaji di dalam kelas tentang pengenalpastian kelas kata dan juga ujian diagnostik kelas kata leksikal dan bukan leksikal. Di bawah kata nama terdapat sifat penentu, keserasian, bilangan, dan kepunyaan. Manakala, di bawah golongan kata kerja terdapat konsep waktu dan kosep suasana. Selain itu, Kata Kerja Tak Transitif juga mempunyai 1 argumen dan 2 argumen. Kata kerja dwitransitif pula memerlukan 3 argumen. Kata kerja frasa komplimentizer pula memerlukan ayat pancangan selepas kata kerja seperti "bahawa". Kata adjektif pula berasosiasi dengan kata penguat dan mempunyai darjah kesangatan, darjah kepalingan, dan darjah keagungan. Kata preposisi pula diatur bersama dengan kata nama dan kata adverba berfungsi sebagai adjung

Setelah selesai membuat ulangkaji Dr. Sofia mahu membuat kuiz dengan menggunakan aplikasi Kahoot tetapi tidak berjaya kerana mempunyai masalah dengan sambungan internet. Oleh itu, kuiz disambung ke minggu hadapan. Saya merasakan bahawa kelas pada minggu ini amat menyeronokkan sekali.
Kuiz tidak dapat dijalankan kerana masalah internet.


Sekian, Terima Kasih 💕

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-10

Assalamualaikum w.b.bt kepada Dr. Norsofiah dan rakan-rakan yang dikasihi 👄

Cuti pertengahan semester telah berlalu dan saya merasakan sedikit kelapangan kerana bebas daripada kawasan universiti kerana pulang ke kampung. Suasana yang aman damai tanpa kesibukan kota cukup menenangkan. Apatah lagi bila tiba ke kampung meskipun ia tidak berseri lagi seperti semester-semester yang lalu kerana ketiadaan insan yang disayangi di kampung. Hanya dapat dititipkan doa semoga roh Atuk dan Nenek sentiasa dibawah rahmat Allah, Ameeeeeen 💟

Setelah pulang ke USM, kami diberikan tugasan yang perlu dilakukan secara berkumpulan iaitu semasa tutorial kami dikehendaki menjawab soalan yang diberikan oleh Dr. dengan bantuan bahan-bahan rujukan seperti buku Tatabahasa Dewan, Korpus dan juga Pusat Rujukan Persuratan Melayu "online". Kmai juga perlu mengenalpasti Kata Akar, Prefiks, Sufiks, atau apitan, golongan kata, Kata Terbitan yang dihasilkan dan Makna bagi Kata Terbitan yang terhasil. Maka, kami menjawab hanya 7 perkataan dengan merujuk sumber-sumber yang dibenarkan sahaja. Setelah selesai menjawab, Dr. menukarkan kertas kami kepada rakan-rakan yang lain untuk ditanda. Kami tidak mendapat markah penuh dan Dr. juga tidak berpuas hati dengan markah kami dapat. Jadi, kami perlu membuat semula latihan tersebut dengan baik.

Saya dan pasangan tidak mendapat markah yang baik.


Semasa di dalam kuliah pula Dr. hanya memberikan kami nota yang perlu dicetak secara individu. Pada masa yang sama semasa kuliah berlangsung, kami juga perlu mencatat nota-nota penting yang diberikan oleh Dr. Kami juga perlu mempelajari suatu kata itu dengan makna di dalam morfologi, semantik, dan sintaksis. Pada hari tersebut juga terdapat pelbagai input yang boleh diperolehi. Saya amat bersemangat dan berharap pengajaran yang seterusnya tetap menghiburkan.


Berikut merupakan nota yang perlu dicatat semasa di dalam kuliah.


Kuliah pada hari Khamis juga amat menyeronokkan dimana pada awalnya kami diminta untuk menyanyikan lagu Gemuruh yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir. Sejujurnya, lagu tersebut amat memberangsangkan untuk dinyanyikan sebagai pembakar semangat sebelum memulakan sesuatu pembelajaran. Saya beranggapan ia berakhir disitu, tetapi Dr meminta kami untuk menyenaraikan semula lirik lagu tersebut dan juga kami perlu membuat pengkelasan tentang golongan kata tersebut beserta justifikasinya. Ia merupakan suatu pembelajaran yang menarik dimana kami perlu membuat tugasan tersebut di dalam Padlet dan dimuatnaik ke dalam Facebook sebagai bukti bahawa kami telah melakukan aktiviti tersebut.

https://padlet.com/nurulhaziqah0896/3mk7pfr7ecza?fbclid=IwAR0OwtVt9dMg1p6Kf7sS1lS9zcJG3MgThkPqaALu5oeuhUhjxeCKrn3db1E
Link diatas menunjukkan tentang perisian padlet yang telah dimuatnaik.

Ulasan saya mengenai refleksi minggu ke-10 ini saya turut menjadikan Dr. sebagai idola saya kerana beliau amat memberikan inspirasi kepada kami sebagai para pelajar untuk menjadi tenaga pengajar yang baik pada masa akan datang. Segala tingkahlaku dan tunjuk ajar daripada Dr. amat menarik dan jelas penyampaiannya.

Sekian, terima kasih 💕

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-8

Assalamualaikum buat Dr. Norsofiah dan rakan-rakan yang dikasihi 😍

Pada minggu ke-8 saya telah mendapat banyak input baru daripada dr dimana dr meminta kami untuk membaca bidang morfologi bab 4 dan topik "mengapa afik-afiks itu lari". Pada masa yang sama, Dr juga meminta kami untuk membaca tentang Kisah Sirah Nabi iaitu Nabi Musa menentang Firaun. Saya amat tertarik sepanjang membaca kisah Nabi Musa kerana beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana masyarakat yang mempercayai semua bawaan Firau sukar menerima dakwah yang disampaikan oleh beliau. Namun, Nabi Musa terus mencuba sehingga Allah SWT membantunya dengan menenggelamkan Firaun di lautan. Ia merupakan sebuah kisah Nabi yang menarik dan membawa banyak teladan kepada kami hamba yang hina dan dina ini.

Setelah itu, pada hari Isnin malam kami diminta untuk menjawab Quizlet dengan memberi pandangan tentang maksud, makna, dan fungsi, bagi imbuhan "se-", "beR-", dan "peR-" dan membincangkannya semasa kuliah berlangsung pada hari Selasa. Setelah selesai perbincangan, Dr pula membuat aktiviti Quizlet dimana kami perlu mencari rakan sekumpulan kami untuk menjawab soalan quiz. Soalan quiz yang diberikan amat menarik dan merangsang lagi pengetahuan kami yang sedia ada. Nasib tidak menyebelahi kumpulan kami dan kami masih kalah di dalam permainan ini. Namun, tidak mengapa kerana yang penting saya telah mempelajari sesuatu pada hari tersebut. Kemudian, sebelum pulang, Dr menjalankan kuiz Kahoot dimana saya juga tidak mendapat tempat bagi kuiz ini kerana kecuaian dan kesilapan saya ketika menekan jawapan. Saya berasa takut dan gementar hingga tertekan jawapan yang salah walhal saya tahu jawapan yang sebenar. Tetapi tidak mengapa, saya akan perbaikinya semasa kuiz yang akan datang.

Pada hari Rabu malam pula kami diminta untuk membuat soalan di dalam Mentimeter berkaitan perkara yang tidak kami fahami namun soalannya masih belum dibincangkn sepenuhnya. Di dalam kelas semasa kuliah pada hari Khamis pula, Dr menerangkan kepada kami tentang Kategori Leksikal, Kategori Bukan Leksikal, Kelas Kata Terbuka, dan Kelas Kata Tertutup. Saya mendapat input yang banyak pada hari tersebut dan Dr Norsofiah menggunakan contoh yang mudah untuk kami fahami. Pada masa yang sama, penerangan Dr. juga cukup lengkap dan padat.

Tugasan yang seterusnya, kami diminta untuk membuat video seperti Micro Teaching tetapi rakaman tidak dilakukan di dalam studio dan kami bebas untuk memilih lokasi untuk mengajar di dalam kumpulan. Kami juga diminta untuk menyediakan Infografik secara berpasangan dan saya berharap saya dapat melaksanakan tugas tersebut dengan baik. InsyaAllah 👄

Sekian, Terima Kasih 💕

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-7

Assalamualaikum w.b.t buat Dr. Norsofiah dan rakan-rakan yang disayangi 👄

Pada minggu ke-7 ini semua kuliah dan tutorial dibatalkan kerana memberi peluang kepada pelajar yang terlibat dengan Minggu Konvokesyen yang berlangsung selama seminggu. Saya turut berasa sedikit lega kerana jika Dr. mengadakan kelas, saya mungkin perlu berjalan kaki setiap hari untuk ke kelas dek kerana aliran trafik yang sangat teruk sepanjang Minggu Konvokesyen berlangsung. Namun, bukan hanya cuti kosong. Dr. sudah pun memberi tugasan kepada kami dimana kami dibahagikan di dalam kumpulan yang telah ditetapkan.

Saya dan ahli kumpulan bersepakat untuk berjumpa dan berbincang mengenai tugasan baru yang diberikan dimana kami perlu menghasilkan Video Powtoon yang berdurasi tidak lebih daripada 5 minit. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan saya mendapat input yang lebih berguna dimana ia merupakan suatu latihan ulangkaji bagi kami meskipun ianya agak mencabar untuk kami memperolehi maklumat dan mengubah makna yang terkandung di dalam buku The Grammar Of Words yang ditulis oleh Geert Booij. Namun, saya juga turut merujuk semula nota semasa kuliah dan tutorial yang dibekalkan oleh Dr. Jadi, kami dapat juga menyiapkan video ini. Untuk melihat video yang dihasilkan oleh kumpulan kami, Dr. dan rakan-rakan boleh klik pada link dibawah.


Nama ahli kumpulan :

1) Mohammad Hazeeq Bin Ellis (136382)
2) Nazirah Binti Abdul Rahim (136402)
3) Nuramiza Izzatie Binti Amri (134973)

4) Nur Syuhada Aisha Binti Izani (135686)

https://www.youtube.com/watch?reload=9&v=krD4Ag0jiJg&fbclid=IwAR1KrPYdITsVcxu2TLCn9NeycjPcRLJw0t4PLxZ7OIKRT_CbpzArGtB3DqY

Setelah itu, kami juga ditugaskan untuk mengambil gambar atau swafoto di board "I AM USM" yang terletak di atas Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP). Kami berasa sangat gembira kerana dapat mengenali ahli kumpulan yang baru dengan lebih dekat dan mesra. Jika dilihat pada gambar yang dimuat naik oleh kumpulan kami ia membawa mesej dimana kami berasa amat teruja dan gembira sepanjang keberadaan kami di USM. Oleh itu, kami memilih untuk membuat aksi "Jump Style". Sejujurnya, saya merasakan bahawa apa sahaja tugasan yang diberikan oleh Dr. sedikit sebanyak dapat memberikan impak yang besar kepada saya. Terima kasih Dr. dan terima kasih rakan-rakan yang masih setia di sisi. 💕


Sekian Terima Kasih 💟

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-6

Assalamualaikum w.b.t kepada Dr. Norsofiah dan buat rakan-rakan yang saya sayangi 💕

Pada hari Isnin iaitu semasa tutorial, Dr. membincangkan tentang tugasan bagi setiap kata nama bagi Bahasa Zulu. Awalnya saya langsung tidak memahami apa yang Dr. mahukan. Saya terus ke google translate untuk melihat setiap satu perkataan tetapi terdapat sesetengah perkataan yang membawa erti yang lain dan tidak tercatat di dalam tugasan yang diberikan. Saya berasa sedikit keliru dan meminta bantuan rakan-rakan yang lain untuk memberikan pemahaman. Namun, mereka juga mempunyai pandangan masing-masing dan saya mendapat input yang berlainan. Oleh itu, saya mencuba sahaja untuk menjawab setiap soalan yang dikehendaki. Semasa perbincangan, saya telah mendapat pencerahan tentang perkara yang perlu dilakukan. Meskipun saya dan rakan kehilangan 8 markah, tetapi kami beranggapan bahawa ianya merupakan suatu percubaan yang baik kerana kami tidak pernah mempelajarinya sebelum ini.

Gambar diatas menunjukkan latihan yang telah dilakukan oleh saya dan rakan saya.

Pada hari Selasa pula, Dr. Norsofiah telah membekalkan kami nota ringkas mengenai Morfem Derivasi. Dimana ia lebih menunjukkan sesuatu perkataan itu mengalami perubahan makna atau perubahan kelas kata dan saya berasakan bahawa ia merupakan input yang terbaik. Saya semakin memahami pembelajaran yang disampaikan oleh Dr. dan saya juga berasa gembira untuk belajar di dalam kelas. 

Pada hari Khamis pula, Dr. memberikan kami nota berkaitan Morfem Infleksi di bawah kategori leksikal dan bukan leksikal. Saya mempelajari perbezaan di dalam kelas kata terbuka dan kelas kata tertutup. Sejujurnya, untuk pembelajaran kali ini, saya masih memerlukan lebih lagi pembacaan untuk pemahaman yang mencukupi. Saya juga meminta bantuan rakan pada masa itu dan saya bersyukur mereka dapat membantu saya dengan baik. Sebelum berakhirnya kelas pada hari tersebut, Dr. mengadakan kuiz melalui Games Kahoot di mana ia amat membantu untuk merangsang segala pengetahuan dan input selepas pembelajaran berlangsung. Saya juga berasa gembira kerana pertama kali saya mendapat tempat ke-4 di dalam permainan tersebut. Jadi, saya akan mencuba dengan lebih lagi untuk meningkatkan kefahaman saya. InsyaAllah...

Saya mendapat tempat ke-4 di dalam permainan Kahoot 😇

Sekian, Terima Kasih 💋

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-5

Assalamualaikum w.b.t kepada Dr. Norsofiah dan rakan-rakan yang dikasihi 💕

Semasa tutorial pada hari Isnin yang lalu, kami telah berbincang mengenai kuiz yang telah diberikan oleh Dr. Norsofiah pada minggu lalu. Kuiz tersebut telah ditanda dan diberikan markah. lalu, kami membuat perbincangan semula semasa di dalam kelas. Dr. Norsofiah menggunakan permainan "Roda Impian" bagi membolehkan para pelajar menjawab soalan yang diajukan. Semasa di dalam kelas tutorial tersebut, saya mendapati bahawa saya kini dapat memahami pembelajaran tersebut dengan lebih jelas kerana sebelum ini saya berasa ragu-ragu semasa menjawab latihan tersebut.

Saya juga telah mempelajari morfem dengan lebih mendalam. Morfem merupakan unit tatabahasa yang paling kecil yang mempunyai makna dan menjalankan fungsi nahuan. Morfem juga merupakan unit yang abstrak dan diwujudkan dalam bunyi dan ejaan. Pada hari Selasa semasa di dalam kuliah, kami telah mempelajari pelbagai cabang dibawah morfem.

Morfem pula terdiri daripada Morfem Bebas dan Morfem Terikat. Morfem Bebas pula terdiri daripada kelas terbuka dan kelas tertutup. Kelas terbuka boleh menerima ahli-ahli yang baru seperti Kata Nafi iaitu "tidak" atau "tanpa". Manakala kelas tertutup tidak boleh menerima ahli-ahli baru dan boleh ditambah dengan Kata Hubung "yang", "dan" dan Kata Bantu seperti "telah", "akan" dan "sedang".

Selain itu, Morfem Terikat pula boleh terdiri daripada dua iaitu derivasi dan infleksi. Derivasi bermaksud boleh mengubah makna dan boleh mengubah golongan kata. Derivasi juga boleh berlaku apabila adanya penambahan kepada morfem akar atau morfem dasar. Misalnya, "boy" merupakan Kata Nama, dan "boyish" merupakan Kata Adjektif. Hal ini demikian kerana, perkataan "boy" yang ditambah imbuhan telah mengubah makna dan mengubah golongan kata kerana menunjukkan sifat atau sikap seseorang itu.

Manakala, infleksi bermaksud tidak boleh mengubah makna dan tidak boleh mengubah golongan kata dimana ia bergantung kepada aturan sintaksis. Misalnya seperti perkataan "tercantik" yang merupakan Kata Adjektif dan "cantik" juga merupakan Kata Adjektif. Meskipun, cantik ditambah dengan imbuhan ter... tetapi ia tidak mengubah makna dan tidak mengubah golongan kata kerana imbuhan ter... hanya membawa maksud paling atau sangat yang berfungsi sebagai Kata Penguat.

Setelah itu, kami mempelajari tentang leksem iaitu sistem atau proses paling awal di dalam pembentukan kata. Leksem ini bersifat abstrak dan telah wujud di dalam leksikon. Leksikon pula merupakan perbendaharaan kata bagi sesuatu bahasa. Leksem juga melalui proses morfologi dan mengalami pengolah gramatis dimana outputnya adalah kata. Misalnya leksem "lupa" yang merupakan kata dasar apabila melalui proses morfologi iaitu pengimbuhan "me-...-kan" akan menghasilkan kata kompleks iaitu "melupakan". Kata juga akan terhasil berdasarkan pengimbuhan yang digunakan seperti "di-...-kan", "-kan" dan "ter-...".

Selesai sahaja kuliah, kami diminta untuk bermain "quiz online" secara berkumpulan. Kami perlu mencari ahli kumpulan yang sama dan menjawab soalan yang diberikan. Ahli kumpulan yang menjawab dengan pantas sekali akan menjadi pemenang. Namun, kumpulan saya kalah kerana kami mengambil masa yang lama untuk menjawab soalan yang diberikan. Tetapi, kami tetap terhibur dan menarik dengan permainan yang diadakan. Ia menjadikan situasi pembelajaran kami sentiasa menyeronokkan.

Pada hari yang berikutnya iaitu pada hari Khamis, Dr. Norsofiah telah menyambung kuliahnya iaitu mengenai Morf dan Alomorf. Morf merupakan bentuk fizikal yang dapat dilihat yang mewakili sesuatu morfem bagi sesuatu bahasa. Bentuk morfem seperti "meN-" iaitu /me/, /mem-/ , /men-/ , /menge-/ merupakan morf. Morf juga merupakan bentuk yang telah dizahirkan seperti perkataan "makan". Morf kepada "makan" ialah /ma/ dan /kan/. Manakala, morf bagi perkataan "melepaskan" adalah /me/ , /le/ , /pas/ dan /kan/. Morfem dan Morf ini dapat dibezakan berdasarkan ejaan atau di dalam perkataan kerana morf dapat dilihat di dalam bentuk fizikal. Manakala, Morfem tidak dapat dilihat kerana bersifat abstrak.

Kami juga telah mempelajari tentang Alomorf dimana alomorf merupakan varian morfem dan sesuatu morfem mempunyai sekurang-kurangnya satu alomorf. Alomorf juga terdiri daripada alomorf lingkungan dan alomorf bebas. Alomorf lingkungan terdiri daripada 3 iaitu alomorf lingkungan fonologi, alomorf lingkungan nahu, dan alomorf lingkungan leksikal.

Alomorf lingkungan fonologi dapat ditentukan oleh ciri bunyi atau ciri-ciri fonologi yang berada di sekitarnya. terdapat 6 alomorf kepada imbuhan awalan "meN-" iaitu /me-/ , /mem-/ , /men-/ , /meng-/ , /meny-/ dan /menge-/. Penggunaan imbuhan "meN-" ini akan menggugurkan beberapa huruf yang terdapat pada kata akar atau kata dasar seperi kata akar "tulis" jika diberi imbuhan /men-/ , maka yang akan terhasil ialah perkataan "menulis". Huruf "t" secara serta-merta akan digugurkan.

Alomorf lingkungan nahu pula dapat ditentukan oleh ciri-ciri nahu dimana huruf "t" pada "mentertawakan" tidak digugurkan, manakala huruf "t" pada menulis digugurkan. Hal ini demikian kerana tertawakan telah menerima imbuhan awalan "ter-" dan huruf "t" harus dikekalkan.

Alomorf lingkungan leksikal pula dapat ditentukan oleh ciri-ciri perbendaharaan kata. Ia telah dikemkakan oleh Asmah Haji Omar yang menyatakannya di dalam buku Nahu Melayu Mutakhir dan menggunakan contoh perkataan "belajar". Morf /bel/ dan /ajar/ ditentukan oleh perkataan itu sendiri dan bukan oleh ciri bunyinya. Contoh lain pula adalah seperti perkataan "bekerja" dan mengapa tidak wujudnya perkataan "berkerja". Hal ini demikian kerana, huruf "r" tidak boleh dihadiri berturutan di dalam satu perkataan. Oleh itu, huruf "r" pada imbuhan akan digugurkan.

Manakala, alomorf bebas pula merupakan alomorf yang boleh menggantikan satu sama lain. Antara contoh yang digunakan adalah perkataan "terdaya". Perkataan ini digunakan sama ada di dalam situasi formal atau tidak formal. Ia juga akan berubah apabila ianya diucapkan di dalam lisan iaitu "terdaya" yang akan disebut "tedaya" tetapi tidak di dalam tulisan.

Selain itu, kami juga mempelajari tentang Morfem Akar dan Morfem Dasar. Morfem Akar merupakan morfem yang mendukung makna leksikal dimana ia mempunyai maknanya yang tersendiri. Morfem akar juga boleh terdiri daripada kelas kata terbuka seperti Kata Nama, Kata Kerja, dan Kata Adjektif. Morfem akar juga tidak boleh dianalisis kepada bentuk yang lebih kecil. Ia juga terdiri daripada perkataan yang tidak boleh berdiri sendiri. Misalnya, "tani" , "tawa", "tapa" dan sebagainya.

Selain itu, Morfem Dasar merupakan gabungan yang terhasil daripada morfem akar dan morfem terikat. Penambahan proses afiksasi atau proses morfologi akan dapat membentuk morfem dasar yang kompleks. Misalnya, perkataan "cantik" merupakan Morfem akar dan merupakan Kata Adjektif. Manakala, perkataan "tercantik" merupakan gabungan mofrem akar dan morfem terikat yang akan menghasilkan morfem dasar. Ia akan menjadi semakin kompleks berdasarkan morfem terikat yang digabung dengan morfem akar.

Oleh itu, secara keseluruhannya pemahaman saya dapat ditingkatkan dari sehari ke sehari kerana adanya latihan dan contoh-contoh yang diberikan amat bermakna untuk saya. Saya juga berharap Dr. Norsofiah akan terus menggunakan kaedah pengajaran yang sebegini bagi mencapai tahap kefahaman pelajar dengan lebih unggul.

Sekian, Terima Kasih 💋 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-4

Assalamualaikum w.b.t kepada Dr. Norsofiah dan rakan-rakan yang saya sayangi 👄

Sepanjang minggu ini, banyak perkara yang telah saya pelajari di dalam kelas HMT 223 MORFOLOGI BAHASA MELAYU dimana Dr. Norsofiah bukan sahaja seorang tenaga pengajar malahan juga seorang penasihat yang baik. Dr. Norsofiah amat mementingkan adab ketika di dalam kelas dan juga kepentingan di dalam menuntut ilmu. Cara pengajaran Dr. juga berbeza dengan pensyarah yang lain. Sebelum ke kelas, Dr. akan memberikan kami nota atau latihan awal untuk memastikan pelajar berada dalam keadaan yang bersedia untuk belajar. Oleh itu, pengjaran pada minggu ini adalah bertajuk MORFEM.



Moorfem merupakan unit terkecil yang mempunyai makna tertentu serta menjalankan fungsi nahuan. Morfem juga dapat dibahagikan kepada beberapa morfem yang lain seperti morfem akar, morfem bebas, morfem infleksi, morfem imbuhan dan lain-lain. Perkara berikut telah diuji menerusi aplikasi yang dinamakan Edpuzzle. Kuiz tersebut disertai dengan video yang menerangkan tentang pengenalan kepada morfem. Saya melihat terlebih dahulu video yang dipaparkan dan seterusnya membuat pencarian kepada jawapan tersebut dengan menggunakan medium internet dan buku Tatabahasa Dewan yang saya miliki semasa di Tingkatan 6. Edpuzzle merupakan medium pembelajaran yang belum pernah saya ketahui dan ternyata ianya amat berkesan di dalam pembelajarn. Selesai sahaja menjawab soalan dan menghantar jawapan, jawapan yang sebenar akan dipaparkan. Semasa kuliah pula, Dr. Norsofiah memberikan kuliah yang berkaitan dengan latihan yang telah dijawab kelmarin. Saya semakin memahami pengajaran yang ingin disampaikan.




Keesokan harinya kami juga telah diberikan latihan di dalam bentuk "Words" dan ianya perlu diselesaikan dan dihantar sebelum kuliah bermula pada keesokan harinya. Dr. Norsofiah meminta latihan tersebut dibuat secara berpasangan. Antara perisiannya ialah kami perlu menentukan sesuatu perkataan yang diberikan sama ada ia adalah kata akar, kata dasar, golongan kata dan pelbagai lagi. Soalan yang diberi agak menguji pengetahuan kami dan saya juga tidak pasti sama ada ianya betul atau tidak. Jadi, kami menghantarnya pada keesokan hari.




Semasa di dalam kuliah, Dr. Norsofiah sekali lagi memberikan penerangan secara ringkas berkaitan perkara yang akan dipelajari di dalam Morfologi. Definisi daripada beberapa orang pengkaji juga turut dinyatakan iaitu Bloomfield, Lyons, dan Asmah Hj Omar. Perkembangan bidang Morfologi ini juga bermula sebelum Masihi lagi ketika di India dan terdapat beberapa aliran yang membuktikan bahawa Morfologi sudah wujud pada zaman itu. Kami juga mengetahui konsep-konsep utama yang perlu dipelajari di dalam bidang Morfologi. Sebelum berakhirnya kuliah, Dr. Norsofiah mengadakan kuiz dengan menggunakan aplikasi Kahoot dan ianya menambahkan lagi pengetahuan kami disamping ianya menjadi pembelajaran yang menyeronokkan.




Akhir sekali, semasa tutorial Dr. Norsofiah telah memberikan tugasan yang baharu dimana kami perlu menyediakan Eportfolio dengan menggunakan "Google Sites". Pembelajaran abad ke-21 ini menjadikan Dr. Norsofiah ingin melahirkan para pendidik yang cakna dengan teknologi masa kini dan menjadikan medium internet sebagai tempat untuk kami menonjolkan bakat serta menunjukkan kelebihan yang kami miliki. Pelbagai faedah dan kebaikannya jika kita semua mampu untuk menghasilkan Eportfolio yang berinformasi. Oleh itu, pastinya kami perlu menghasilkan Eportfolio tersebut mengikut kreativiti secara individu. Secara keseluruhan, saya berasa seronok sepanjang berada di dalam kelas dan berharap dapat menumpukan perhatian yang lebih lagi semasa di dalam kelas mahupun di dalam tutorial.



Sekian, terima kasih 💕


Hasil carian imej untuk gif kids claps

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

REFLEKSI MINGGU KE-3

Assalamualaikum w.b.t. kepada Dr. Norsofiah dan rakan-rakan yang saya kasihi 😍



Nuramiza Izzatie Binti Amri (134973)


Pertama sekali, saya ingin memperkenalkan diri saya, iaitu nama saya Nuramiza Izzatie Binti Amri atau lebih selesa dipanggil Miza. Saya berumur 22 tahun dan berasal daripada Johor. Saya merupakan anak pertama daripada 3 orang adik-beradik. Saya telah mendapat pendidikan awal semasa peringkat UPSR, PMR, SPM, dan STPM di Kota Tinggi, Johor. Seterusnya saya memilih untuk menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Saya juga telah mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dan tahun ini saya merupakan pelajar tahun ketiga. 

Demi memenuhi cita-cita saya dan impian ibu bapa saya untuk melihat saya menjadi seorang guru yang berjaya, saya menanam azam dan tekad untuk meneruskan setiap langkah yang telah saya lakukan dengan bersungguh-sungguh. Hal ini demikian kerana, saya merupakan sumber inspirasi kepada adik-adik yang lain.

Saya juga telah membuat keputusan untuk mendaftar subjek HMT223 Morfologi Bahasa Melayu atas nasihat dan dorongan daripada para pensyarah, ibu bapa, dan rakan-rakan. Jadi, memandangkan saya belum pernah mengikuti kelas mahupun tutorial yang diadakan, saya meminta rakan-rakan untuk berkongsi maklumat atau informasi yang diperolehi bersama semasa di dalam kelas. Oleh itu, saya berharap dengan adanya bantuan daripada rakan-rakan dan Dr. Norsofiah dapat membantu meningkatkan kefahaman saya di dalam kelas akan datang. 

Sekian terima kasih 👄

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS